Saturday, December 5, 2015

Mahathir Mohamad: Analisis Kata Ganti Nama dan Kata Panggilan



PENGENALAN

Rencana yang dipilih bertajuk “Mahathir Mohammad” yang dipetik daripada Wikipedia dalam bahagian ensilokpedia bebas. Dalam rencana ini dibahagikan kepada 10 sub tajuk mengenai kehidupan Mahathir Mohamad. Walau bagaimanapun, hanya tajuk 1 hingga 7 sahaja yang dianalisis berdasarkan penanda rujukan iaitu kata ganti nama. Antara tajuk-tajuk tersebut ialah; 
1. Pengenalan Mahathir Mohamad
2. Latar belakang
3. Pendidikan
4. Kerjaya dan keluarga
5. Kerjaya politik
6. Kesihatan
7. Kontroversi
8. Hasil penulisan
9. Garis masa
10. Anugerah
KATA GANTI NAMA DIRI

Penanda rujukan melibatkan rujukan terhadap ganti nama diri dan ganti nama tunjuk. Rujukan ganti nama diri melibatkan ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga. Nik Safiah Karim et al. (2014), dalam Tatabahasa Dewan edisi ketiga, penanda rujukan digunakan untuk perkaitan antara bahagian dalam wacana iaitu hubungan antara kata dengan benda yang dirujuknya. Lebih mudah penanda rujukan ialah kata ganti nama yang digunakan bagi merujuk perkataan dan frasa lain. Dalam buku Nahu Melayu Mutakhir, kata ganti nama adalah kata yang berdiri di tempat kata nama dan ia dibahagikan kepada tiga (3) subgolongan: ganti nama diri, ganti nama penunjuk dang anti nama tanya (Asmah, 1986, hlm. 77). Liaw dan Abdullah (1994, hlm. 12), dalam buku Nahu Melayu Moden pula mentakrifkan kata ganti nama sebagai kata-kata yang menggantikan, menanyakan serta menunjukkan kata nama atau frasa nama di dalam ayat. Mereka membahagikan kepada lima (5) subgolongan: kata ganti diri, kata ganti tanya, kata ganti tak tentu, kata ganti tunjuk, dan kata ganti penghubung.   

         Rajah 1  Kata ganti nama menurut Nik Safiah Karim et al. (2014)

Irdis Aman (2010), dalam bukunya Analisis Wacana mentakrifkan alat tenunan rujukan (reference) ialah lakuan merujuk pada unsur sebelum dan selepas, yang berkaitan dengan hubungan makna. Rujukan pada unsur sebelumdinamakan rujukan anafora dan rujukan pada unsur selepas dinamakan rujukan katafora. Makna bagi kata bayangan boleh ditentukan oleh apa yang dikemukakan sebelum atau selepas kata bayangan. Bagi Idris, kata bayangan adalah ganti nama. Kata ganti nama diri (KGND) 1 digunakan oleh penutur atau penulis bagi menggantikan gelaran bagi dirinya. KGND 2 digunakan untuk merujuk orang yang dilawan bercakap atau yang sedang membaca dan KGND 3 digunakan untuk merujuk orang yang diperkatakan.


Rajah 2 Kata Ganti Nama menurut Ahmad Khair Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail & Ton Ibrahim, (2015), Tatabahasa Asas.

  
          Rajah 3 Perbezaan kata ganti nama yang ditakrifkan oleh 3 tokoh
  
Dalam sesebuah wacana, unsur kohesi dan koheren tidak dapat dipisahkan. Kohesi berperanan dalam memperlihatkan kesinambungan antara sebahagian teks yang lain dan sehingga membentuk kesatuan sesebuah teks atau wacana yang utuh. Halliday (2004),  menjelaskan rujukan merupakan salah satu unsur tautan yang utama dan anafora merupakan salah satu unsur rujukan. Anafora ialah satu daripada rujukan endofora yang menjadi alat kohesi untuk mewujudkan tautan atau kohesi di dalam teks, iaitu dengan cara merujuk kembali maklumat yang telah disebut sebelumnya (Halliday dan Hassan, 1976, hlm. 33). Menurut Midiyana Mohamad dan Mohammad Fadzeli Jaafar (2015), fungsi anafora adalah untuk memperlihatkan kesempurnaan makna, kepelbagaian gaya dan pertautan idea. Tujuan penggunaannya adalah untuk mengurangkan perulangan unsur bahasa yang tertentu dalam ayat atau wacana serta mengurangkan jumlah perkataan. Kajian ini akan memperlihatkan rujukan diri dalam rencana “Mahathir Mohammad”.
Rajah 4 Rujukan Anafora dan Rujukan Katafora




ANALISIS KOHESI NAHUAN
Rujukan diri
Dalam analisis rujukan diri ini didapati terdapat rujukan diri ketiga dalam perenggan pertama yang dianalisis didapati bersifat anaforik dan kohesif. Kata ganti nama diri KGND 3 yang ditemui ialah ‘nya’ dan ‘beliau’. Contoh ayat;
(a) Dr Mahathir menyatakan tarikh lahir sebenarnya adalah 10 Julai 1925, 
(b) tapi bapanya mendaftarkan tarikh lahir dalam sijil kelahiran sebagai 20 Disember untuk memudahkan urusan pendaftaran persekolahan. 
(c) Beliau yang cukup dikenali dengan "Dr. M" merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat. 
(d) Menggunakan nama timangannya sendiri, "Che Det" sebagai nama pena, beliau banyak menulis dengan artikel pertamanya disiarkan oleh akhbar The Strait Times Singapura pada 20 Julai…
(e) Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan 

Dalam perenggan pertama, terdapat lima ayat dan KGND 3 nya digunakan sebanyak enam kali manakala beliau sebanyak tiga kali. Perilaku penggunaan kata ‘nya’ dan ‘beliau’ adalah merujuk kepada Dr. Mahathir. Ayat (a), (b), (d) dan (e) adalah merujuk secara anafora dan hanya ayat (c) yang merujuk secara katafora.  

Dalam perenggan 2 dan 3, penggunaan KGND 3 iaitu beliau digunakan sebanyak enam kali dalam lima ayat dan semua kata beliau merujuk secara anafora bagi namaan Dr. Mahathir. Contoh ayat:
(a) Usaha beliau yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa…
(b) …dimana beliau telah menolak cadangan dan juga dana bantuan dari IMF yang beliau sifatkan akan memburukkan lagi krisis.
(c) …dimana beliau menyatakan kecaman dan pujian…
(d) Beliau merupakan seorang tokoh politik…
(e) Beliau menyokong "Sistem Ekonomi Pasaran" terkawal…

Dalam perenggan 4, KGND ‘beliau’ adalah sebanyak empat kali dan semuanya merujuk secara anaforik bagi Dr. Mahathir dalam ayat (a). Terdapat satu KGND ‘nya’ yang digunakan dalam ayat pertama. Contoh ayat:
(a) Dr. Mahathir juga sering kali dikritik dengan dilabelkan…
(b) persaraan beliau oleh The New York Times
(c) sifat autokratik beliau sepanjang karier politiknya…
(d) beliau terangkan sebagai tindakan pencegahan
(e) penjelasan beliau diterima dan ditolak pembaca
(f) Selain itu, beliau tidak dapat lari dari tuduhan kronisme 

Dalam perenggan 5 dan 6, kata ‘nya’ 1 kali dan ‘beliau’ 2 kali. KGND 3 ‘nya’ dalam ayat (a) adalah merujuk kepada Dr Mahathir dalam perenggan 4. Ia tidak mempunyai tautan kerana berada dalam perenggan berasingan. Manakala ‘beliau’ dalam (c) dan (d) adalah mempunyai ikatan kohesif dengan ayat (b) kerana berada dalam ayat yang berasingan. Contoh ayat:
(a) … dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk…
(b) Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara
(c) Beliau turut dinobatkan sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia"…
(d) …menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling…

Dalam bahagian latar belakang, terdapat 3 ayat dan KGND ‘beliau’ dan ‘nya’ telah digunakan. Contoh ayat di bawah, ‘beliau’ pada ayat (b) dan ‘nya’ pada ayat (c) merujuk secara anafora Tun Dr. Mahathir bin Mohamad  dalam ayat (a). Ini menunjukkan ayat ini adalah kohesif iaitu mempunyai tautan antara ayat pertama dan kedua. Contoh ayat:
(a) Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah tanggal 10 Julai 1925
(b) Tarikh lahir beliau yang didaftarkan pada 20 Disember 1925…
(c) …oleh bapanya adalah untuk memudahkan urusan pendaftaran persekolahan.

Terdapat 6 ayat dalam subtajuk pendidikan dan setelah dianalisis KGND 3 ‘beliau’ terdapat lima kali. Kata ‘beliau’ dalam ayat (b) hingga (f) adalah merujuk secara anafora bagi ‘Dr. Mahathir’ dalam ayat (a). penggunaan KGND 3 ‘beliau’ yang digunakan adalah bagi mengelakkan perkataan ‘Dr. Mahathir’ ditulis berulang. Contoh ayat:
(a) Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak…
(b) Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran
(c) beliau telah membuka kedai kopi secara kecil-kecilan
(d) beliau menyambung pelajarannya di sekolah yang sama pada tahun 1945
(e) Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya,
(f) beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.

Seterusnya, dalam bahagian kerjaya dan keluarga, penggunaan kata ganti nama ‘beliau’ digunakan sebanyak empat kali dan kata ‘nya’ berlaku hanya sekali. Dalam contoh ayat di bawah, semua kata ‘beliau’ dan juga kata ‘nya’ adalah merujuk kepada Dr. Mahathir. Contoh ayat:
(a) Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali…
(b) Anak-anak beliau adalah:
(c) beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan
(d) beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian
(e) untuk membuka kliniknya sendiri


Dalam subtajuk kerjaya politik, banyak digunakan kata ganti nama ‘beliau’ yang menunjukkan secara anaforik bagi kata ‘Dr. Mathathir’. Contoh ayat penggunaan kata ‘beliau’:

(a) yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union

(b) beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai Pengerusi Parti Negeri Kedah…
(c) beliau dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah…
(d) apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959.
(e) penuduhan bahawa beliau hendak memilihkan calon-calon yang rapat dengannya

Begitu juga dalam perenggan kedua, kata ganti ‘beliau’ juga digunakan sebanyak empat kali dan kata ‘nya’ digunakan sebanyak sekali dan semuanya merujuk secara anafora. Contoh ayat:
(a) Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965.
(b) beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa
(c) selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.

Perenggan ketiga menunjukkan terdapat penggunaan kata ganti nama ‘nya’ sebanyak tiga kali dan ganti nama ‘beliau’ sekali. Berdasarkan ayat, didapati penggunaan ganti nama tersebut berada dalam ayat yang sama iaitu merujuk kepada Dr. Mahathir. Ayat (a), (b),(c), dan (d) berada dalam ayat yang sama. Contoh ayat:
(a) Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya
(b) selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman.
(c) Dalam suratnya
(d) Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO.
(e) beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku.

Dalam perenggan kelima, didapati analisis nahuan adalah kohesif antara kata ganti nama ‘beliau’ dengan yang dirujuk. Dalam ayat di bawah,  ‘beliau’ dalam (b) merujuk secara anafora bagi ‘Tun Dr Mahathir’ dalam ayat (a). Tautan teks terhasil daripada rujukan anafora ini kerana KGND 3 iaitu ‘beliau’ terdapat dalam klausa yang berasingan. Manakala, ‘beliau’ dalam (d) pula merujuk kepada ‘Dr Mahathir’ dalam (a). KGND ‘nya’ dalam ayat (e) pula merujuk kepada ‘Perdana Menteri Tun Abdul Razak’ juga dalam ayat (e). Begitu juga bagi ‘nya’ dalam ayat (f) merujuk kepada ‘Datuk Hussein Onn’. Seterusnya, ‘nya’ dalam (g) merujuk secana anafora ‘Dr Mahathir’ dalam (f).
Contoh ayat:
(a) Tun Dr Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 
(b) Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding.
(c) Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet…
(d) Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975.
(e) Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya
(f) Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya
(g) sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya.

Pada perenggan 6 dan 7, hanya KGND ‘nya’ yang digunakan. ‘Nya’ dalam (a) merujuk kepada ‘Datuk Hussein Onn’, begitu juga ‘nya’ dalam (b) merujuk kepada ‘Dr Mahathir’.
(a) Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya.
(b) Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya.

Dalam subtajuk kesihatan, turut digunakan KGND ‘beliau’ dan ‘nya’. Ayat di bawah memperlihatkan penggunaan KGND tersebut. ‘Beliau’ dalam ayat (b) hingga (d) adalah merujuk kepada ‘Dr Mahathir Mohamad’ dalam (a). Seterusnya, ‘beliau’ dalam ayat (f) merujuk kepada ‘Tun Dr Mahathir’ dalam (e) dan ayat ini adalah kohesif kerana berada dalam perenggan yang sama tetapi klausa yang berasingan.
(a) Dr Mahathir Mohamad pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari
(b) Pada 9 November 2006, beliau sekali lagi dimasukkan ke Institut Jantung Negara
(c) Pada 14 Mei 2007, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)
(d) Pada 15 September 2007, sekali lagi beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di IJN
(e) Tun Dr Mahathir telah dimasukkan ke Hospital Epworth akibat sakit batuk dan selesema.
(f) Kemasukan beliau ke hospital tersebut disahkan oleh pegawai khasnya, Sufi Yusof.

Pada bahagian kontroversi, penulis telah membahagikan kepada 3 iaitu; (i) krisis perlembagaan, (ii) pemecatan Anwar Ibrahim, dan (iii) keluar UMNO. Terdapat penggunaan kata ganti nama tunjuk ‘ini’ dalam perenggan krisis perlembagaan. Dalam ayat (b) dan (c), ‘ini’ adalah merujuk kepada ‘bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung.’ dalam (a). Selain itu, KGND ‘mereka’ dalam (c) adalah merujuk kepada ‘Sultan’ juga dalam (c). Tautan teks tidak terhasil daripada rujukan anafora ini kerana KGND 3 iaitu ‘mereka’ terdapat dalam klausa yang sama dalam (c).
(a) Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung.
(b) Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung
(c) perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa mereka.

Dalam bahagian kontroversi kedua, terdapat juga kata ganti nama tunjuk iaitu ‘itu’. ‘Itu’ dalam (a) merujuk secara katafora bagi ‘Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan’.  Manakala ‘beliau’ dalam (b) merujuk secara anafora ‘Anwar’. ‘Nya’ pula merujuk kepada ‘Mahathir’ dalam (c) dan merujuk secara katafora bagi Parti Keadilan Nasional (PKR) dalam (d). Contoh ayat:
(a) Anwar pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
(b) Anwar mendakwa bahawa beliau dizalimi kerana beliau membawa isu korupsi dan nepotisme…
(c) Mahathir serta orang-orangnya adalah sasaran bagi tuduhan tersebut.
(d) tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999.

Bagi kontoversi ketiga pula, ‘beliau’ dalam (b), (c) dan (f) adalah merujuk secara anafora bagi kata ‘Dr Mahathir’ dalam (a). Manakala, ganti nama ‘nya’ dalam (e) adalah merujuk ‘Abdullah’ dalam (d). KGNT ‘itu’ dalam (h) pula merujuk kepada frasa ‘perjumpaan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak’ dalam (g).
(a) Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO
(b) Beliau mendakwa bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO
(c) Beliau turut menyatakan sebab bahawa UMNO kini
(d) parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO
(e) kepentingan keluarganya sehingga membelakangkan negara
(f) Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Star, Kedah.
(g) Dr Mahathir mengadakan perjumpaan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak…
(h) Perjumpaan itu berkemungkinan tidak berhasil memujuk Najib menentang Abdullah

 SISTEM PANGGILAN
Sistem panggilan dalam masyarakat Melayu dibahagikan kepada 2 golongan iaitu golongan orang-orang yang memerintah dan golongan orang-orang yang diperintah. Amat Juhari (1985), “Sistem sapaan atau panggilan ini selaras dengan keadaan masyarakat Melayu yang merupakan satu masyarakat yang mempunyai beberapa ciri dan sifat yang tersendiri dan struktur serta susun lapis masyarakat yang tersendiri yang membezakan dengan masyarakat yang lain”.

Penggunaan bentuk-bentuk panggilan yang salah akan membayangkan kekurangan asuhan yang baik, dan akan dianggap sebagai satu penghinaan oleh orang yang dilawan bercakap atau sebagai biadab atau kurang ajar (Nik Safiah Karim, 1981). Nik Safiah Karim (1981), dalam masyarakat Melayu, salah satu situasi yang penting dititikberatkan ialah penggunaan kata ganti diri terutamanya kata ganti orang pertama dan kedua. Amat Juhari Moain dalam bukunya Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu (dalam Dewan Bahasa, 2012)  membahagikan sistem sapaan dalam bahasa Melayu seperti yang berikut:
1. Susunan kata yang digunakan pada masa membuat sapaan dan panggilan, iaitu;
 (a) sapaan yang lengkap dengan kata rujukan kehormat, gelaran atau pangkat yang disandang dan nama peribadi yang lengkap. (Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak)
 (b) sapaan ringkas yang menyebut nama gelaran dan/atau pangkat dengan atau tanpa nama peribadi. (DYMM Seri Paduka Baginda)
2. Sebutan senarai orang yang disapa daripada peringkat yang paling kanan hingga peringkat yang di bawahnya.
3. Penggunaan kata ganti nama diri.

Asmah Hj. Omar (1982), mengatakan status merupakan faktor penting dalam penentuan sistem panggilan. Dalam pergaulan seharian terdapat sekatan-sekatan tertentu antara ahli masyarakat itu. Contohnya, sekatan pangkat dalam pekerjaan atau kedudukan sosial. Beliau membahagikan berdasarkan pangkat atau status seseorang itu dibuat seperti berikut;
1. Gelaran pergaulan formal
2. Gelaran warisan
3. Gelaran kurniaan kerajaan
4. Gelaran kurniaan ikhtisas
5. Gelaran keagamaan

Dalam rencana “Mahathir Mohamad” ini terdapat penggunaan kata panggilan yang merujuk kepada rujukan kehormat, gelaran atau pangkat yang disandang. Gelaran warisan merupakan gelaran yang diwarisi oleh seseorang sejak kelahirannya. Dalam rencana ini, ibu Dr Mahathir mempunyai gelaran warisan iaitu Wan Tempawan Wan Hanapi. “Mahathir Mohamad” sendiri mendapat gelaran kurniaan ikhtisas dan juga kurniaan kerajaan. Beliau mula mendapat gelaran ikhtisas setelah tamat ijazah perubatan dari Kolej Perubatan King Edward di Singapura dengan gelaran Dr. Mahathir bin Mohamad.



Gelaran Kerajaan

i. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad
ii. Tun Dr Siti Hasmah binti Mohamad Ali
iii. Tun Abdul Razak
iv. Tunku Abdul Rahman
v. Datuk Hussein Onn
vi. Tun Hussein Onn
vii. Tun Musa Hitam
viii. Datuk Seri Abdullah Badawi
ix. Tan Sri Dr. Yahya Awang,
x. Datuk Dr. Razali Wathooth, 
xi. Datuk Dr. Azahari Yakub, 
xii. Datuk Dr. Venugopal Balchand, 
xiii. Datuk Ezani Mohd. Taib 
xiv. Dato' Seri Anwar Ibrahim
xv. Dato' Seri Najib Tun Razak

Gelaran Ikhtisas
i. Dr Mahathir
ii. Tan Sri Dr. Yahya Awang,
iii. Datuk Dr. Razali Wathooth, 
iv. Datuk Dr. Azahari Yakub, 
v. Datuk Dr. Venugopal Balchand, 
vi. Prof. Dr. Hartzell Schaff
vii. Dr Wan Azizah



Gelaran Warisan Raja

i. Sultan Ahmad Shah 
ii. Sultan Iskandar 
iii. Sultan Azlan Shah
iv. Tuanku Ja'afar 
v. Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah
vi. Tuanku Syed Sirajuddin 

Gelaran Warisan Bangsawan
i. Wan Tempawan Wan Hanapi

KESIMPULAN
Kesimpulannya, penggunaan penanda rujukan nahuan dalam sesebuah wacana dapat menjadikan sesebuah wacana itu menarik dan penulis dikatakan berjaya menyampaikan wacananya. Berdasarkan rencana “Mahathir Mohamad”, penggunaan KGND 3 iaitu ‘beliau’ dan ‘nya’ banyak digunakan oleh penulis bagi merujuk orang yang diperkatakan. Kata ganti nama ‘mereka’ hanya berlaku sekali sahaja. Selain itu, kata ganti nama tunjuk ‘ini’ dan ‘itu’ turut digunakan penulis bagi menggambarkan jarak jauh-dekat sesuatu ayat yang terdapat dalam ayat dan juga merujuk kepada yang diperkatakan.


 RUJUKAN


Ahmad Khair Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail dan Ton Ibrahim. (2015).                                 Tatabahasa Asas (edisi kedua). Batu Caves: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Ahmad Ahmad Juhari Moain. (1985). Sistem panggilan dalam bahasa Melayu:                                        Suatu analisis sosiolinguistik. Tesis Ph.D. Akademi pengajian Melayu. Universiti Malaya             Kuala Lumpur.

Asmah Haji Omar. (1986). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa                                 dan Pustaka.

Asmah Hj. Omar. (1985). Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa                            dan Pustaka. 

Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan. (1994). Siri pengajaran bahasa fajar bakti: Nahu                        Melayu moden. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Idris Aman. (2010). Analisis Wacana. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Midiyana Mohamad dan Mohammad Fadzeli Jaafar (2015). Anafora dalam teks ilmiah:                          Pendekatan analisis kontrastif. Journal of language studies 15(2). 137-150.

Nik Safiah Karim, Farid M. onn, Hashim Hj. Musa dan Abdul Hamid Mahmood. (2014).                           Tatabahasa Dewan (edisi ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 












No comments:

Post a Comment